Saturday, May 9, 2009

Pengorbanan seorang adik

Hanya satu kisah…
Aku cuma ada seorang adik. Lelaki dan usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.


Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.


Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.
"Baik, kalau tak mengaku, dua- dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata,
"Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik.
Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.
"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"


Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,
"Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!"
Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku.
Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.


Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,
"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran.. Abang bangga sekali!"
"Tapi apalah maknanya bang…!" aku terdengar ibu teresak-esak.
"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"
Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg…. sebuah penampar singgah di pipi adik.
Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"
"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku
memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
"Kakak perempuan… biarlah kakak yang berhenti."
Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat…. .


"Kak…untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."
Apa lagi yang Aku tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:
"Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"
"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen..
"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"
Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"


Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara,
"Akak tak peduli apa orang lain kata."
Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata,
"Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
"Tak… Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."
Apalagi…aku menangis seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.
"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya,
"Siapakah orang yang paling anda sayangi?"
Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya" katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.


"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya.
"Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar "
"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.
"Jika tak dapat apa yang kita suka, belajarlah menyukai apa yg kita dapat… dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada..


p/s: cerita di atas pemberian seorang rakan. wallahualam..semoga bermanfaat.. ;)

Palestin, bumi pahlawan.

“dik bangun pagi,dik”. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi.
Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik.
Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.
Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad telah mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid.

Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk dipenjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid.
Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud,adik sujud.

Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi.

Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan.
Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid.

Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah.
Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku.

"Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"

Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak toleh kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis,terus peluk ummi. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk dipenjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah.

Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Ummi hanya diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik,indah. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk.
"Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu.
Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam.
Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu namanya ‘bom tangan’ bukannya bola seperti yang disangka adik Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi.
Merajuk.

Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menangis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa.
Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik.

Abang dukung adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang.
"Abang nak pergi mana?" tanya adik seperti orang bodoh.
"Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.
Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi.

Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil." terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala.Bukan Israfil tapi Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil.

Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang rongak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik dengar ada orang menjerit takbir di luar rumah.Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu.
Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik.

Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi.

Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.

"Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik.

"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan.

"Cantik macam syurga ke ummi?" adik tanya lagi.

Ummi senyum.

"Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika sebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi.

Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.


Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran.

"Bismillah hirrahman nirrahim.."

Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Quran satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Quran hari-hari.
Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran. Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar.

"Syukur ya Huda, anakmu Yassin syahid…"muncul Mak Cik Fatima di depan rumah.

"Anakmu,anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda.

Tindakannya menyebabkan tiga belas orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan dua lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik terkejut. Nama Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap.

Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan. Lima belas minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri org munafik ialah mungkir apabila berjanji.

Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya malam semalam Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya.

Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid,kemudian abang dan akhirnya Jamal. Adik berjalan pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel.

Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu kalimah keramat..Allah..Allah. Mata adik merah.

Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi.

Tiba-tiba.....poom!!! Pistol yang diacu memuntahkan isinya.

"Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah.

Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit.Sakit sangat… Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuh untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa.

Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit.


"Ummi,adik rasa mengantuk,penat…adik nak tidur.Adik nak jadi mujahid,adik nak ikut Jamal, walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk,berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.


Dipetik dan diubahsuai dari: http://www.palestinkini.info/

Selamat hari ibu ya ummi!

Bismillah...

10 may merupakan tanggal hari ibu yang disambut serata dunia sebagai menghargai jasa ibu-ibu yang melahirkan setiap insan di dunia ini. sempena hari bu hari ini, terdetik di hati untuk menulis blog kali ini sebagai penghargaan setiap ibu di dunia terutamanya my Umi  sendiri, Faridah binti Jusoh.

tidak dinafikan jasa ibu yang terlalu banyak dalam membesarkan kita sehingga menjadi insan yang berguna, insyaALLAH. ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya. Dalam kehidupan sekarang yang semakin banyak dugaan hidup, ibu merupakan tulang belakang kepada kejayaan sesuatu famly dalam mendidik dan membentuk keperibadian anak-anaknya. Ibu merupakan insan yang patut kita dahului dari segalanya yang ada di bumi ini. tanpa ibu tiadalah kita di dunia. Bahkan dalam islam sendiri, golongan ibu ini diangkat begitu tinggi sesuai dengan jasa dan pengorbanan mereka sehingga Islam menyatakan bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu, betapa hebatnya martabat golongan ibu di mata ISLAM. tidak akan mencium syurga seseorang itu andai kata menderharkai ibunya. maha suci ALLAH.

Rasulullah juga mengingatkan kita akan keagungan golongan ibu apabila baginda ditanya siapakah yang patut kita sayangi selepas ALLAH dan rasulnya, maka jawab rasulullah adalah ibu dan ianya dijawab sebanyak tiga kali dan barulah bapa. sesungguhnya jasa ibu memang terlalu besar kepada kita. Boleh dikatakan setiap hari adalah hari ibu, akan tetapi tidak salah jika kita sama-sama menyambut hari ibu ini setahun sekali dan membuat sedikit kelainan dalam menghargai golongan ini untuk mengingatkan mereka akan betapa pentingya golongan ibu dalam kehidupan kita. 

umi, jasamu terlalu besar dalam mendidik dan memberi dorongan terhadap anakmu. mungkin anakmu ini tidaklah sehebat manusia agung lain, akan tetapi insyaALLAH dengan usaha dan iringan doamu, anakmu ini akan berusaha untuk memastikan kehidupan mu dilengkapi dengan pengisian yang penuh bermakna dari kehidupan dunia dan akhirat kelak, insyaALLAH. Umi, jasamu takkan terbalas dengan jutaan wang ringgit kerana apa yang umi berikan itu lebih berharga dari nilai wang ringgit. bahkan kekadang umi sanggup mengikat perut dan keinginan demi membesarkan anak-anak mu. umi, engkaulah manusia agung yang menjadi pembakar semangat kepada anakmu ini untuk terus mengorak langkah ke depan demi memajukan diri,keluarga dan agama.

anakmu ini cukup menghargai segala pengorbanan yang diberikan umi sejak dari kecil hinggalah bakal memasuki alam perkerjaan nanti. umi,umi dan umi sentiasa memberi dorongan sejak aku masih kecil sehinggalah sekarang. tidak pernah berkata tidak kepada apa yang aku nyatakan,  akan tetapi menyuruh aku lebih banyak berfikir sebelum membuat sesuatu keputusan. dengan usiamu genap 42 tahun pada 5 hari lepas, membuatkan aku terfikir usiamu semakin meningkat. akan tetapi tiada lagi jasa yang mampu anakmu berikan untukmu melainkan doa kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat buat masa ini.

insyaALLAH, sesenang atau sesusah mana pun anak mu kelak, jasa umi takkan dilupakan begitu sahaja. umilah insan yang cukup aku sayangi dan kagumi. keperibadianmu cukup membuatkan aku berasa kagum dan bangga. itulah umiku.tidak pernah menunjukkan kesusahan dan penderitaannya pada orang lain melainkan dirinya sahaja yang tahu. insyaALLAH aku mempunyai perancangan tersendiri untuk umiku yang akan aku usahakan untuk merealisasikannya kelak. ikutkan hati, ingin aku pulang dan meraikan hari ibu bersama umi, akan tetapi anak mu ini masih ade perjuangan yang belum selesai. insyaALLAH jika diizinkan ALLAH, anakmu akan menyambutnya pada tahun-tahun yang mendatang.

Umi, selamat hari ibu. engkaulah sumber inspirasiku dalam mengejar kebahgiaan hidup di dunia dan akhirat. engkaulah insan yang aku sanjungi. tugas mu bukan sekadar mendidik dan menjaga keluarga bahkan turut membantu abah dalam menambah pendapatan keluarga. umi yang tak pernah mengharapkan kemewahan melainkan kejayaan anak-anak semata-mata. umi adalah ibu mithali yang terbaik dalam dunia ini. semoga ALLAH panjangkan usia,merahmati, memberkati serta murahkan rezeki umi. insyaALLAH.

post ini hanyalah sebagai luahan hatiku yang masih lagi tidak sama dengan perasaan sebenar. sebagai berkongsi rasa cinta dan sayang pada umiku, Faridah binti Jusoh yang sedang berada di Chukai,kemaman terengganu.Engkaulah ratu hatiku.Terima kasih umi.


-maby86-

Friday, May 8, 2009

Saudagar Tuhan

Abdul Rahman Bin Auf adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang akrab. Beliau juga adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang terkaya sebagaimana juga halnya dengan Saiyidina Uthman Bin Affan r.a. Menurut ahli sejarah, Abdul Rahman Bin Auf dilahirkan 10 tahun sesudah tahun gajah dan beliau hidup sebagai seorang pemuda Quraisy dikota Mekah yang ketika itu penuh dengan bermacam-macam kemaksiatan jahiliah berupa penyembahan berhala maupun kejahatan-kejahatan lainnya. Namun demikian Abdul Rahman   terhindar dan bermacam-macam kejahatan yang berleluasa ketika itu. Bahkan sebelum memeluk agama Islam lagi, Abdul Rahman Bin Auf telah mempunyai anggapan bahawa minuman arak itu adalah terlarang.

Abdul Rahman Bin Auf telah memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w memasuki Darul Arqam lagi. Dengan hal demikian nyatalah bahawa beliau tergolong orang-orang Islam yang permulaan dan menurut riwayat beliau adalah orang yang 8 dan orang-orang permulaan yang memeluk Islam. Adalah diriwayatkan bahawa ibu Abdul Rahman Bin Auf sesudah mengetahui Abdul Rahman Bin Auf memeluk Islam, iapun berkata kepada anaknya, "Aku akan berjemur dipanas matahari yang terik di waktu siang dan di waktu ma1am yang sejuk aku akan bermalam diruang lapang, hinggalah engkau mengaku akan kembali semula kepada agama nenek moyangmu. Dimikian ibunya mengancam. Sungguhpun begitu Abdul Rahman Bin Auf tetap tegak memeluk ugama suci dan mencintai Rasulullah S.A.W.

Adapun nama asal Abdul Rahman sebelum beliau memeluk Islam ialah Abdul Ka'abah, tetapi kemudian setelah Islam beliau menukar namanya kepada Abdul Rahman. Sebagai seorang sahabat Rasulullah yang akrab, Abdul Rahman mempunyai satu keistimewaan yang khas iaitu berjuang untuk menegakkan ugama Allah bukan saja dengan pedangnya bahkan dengan harta dan kekayaannya. Beliaulah antara para sahabat yang banyak sekali mengorbankan kekayaannya untuk memperjuangkan kepentingan Islam. Abdul Rahman pernah membahagikan dua kekayaannya untuk dibahagikan kepada fakir miskin dan pernah pula menyerahkan seluruh kekayaannya untuk keperluan sabilillah demi menegakkan panji-panji Islam.

Ramai sahabat yang telah memimpin penjuangan Islam dan menyibarkan syiar Islam yang berjuang sebagai panglima atau sebagai pahlawan Islam yang dikenal sejarah, tetapi Abdul Rahman Bin Auf telah melakukan kepahlawanannya dengan jalan menyerahkan seluruh kekayaannya dalam menegakkan Islam.

Sebagai seorang Islam yang permulaan, Abdul Rahman Bin Auf juga telah mengalami berbagai penderitaan dan penyiksaan dari masyarakat Quraish di Mekah. Oleh kerana memandangkan keadaan kaum Muslimin yang sangat sedikit itu sementelahan pula mengalami berbagai macam ancaman maka Rasulullah s.a.w akhirnya telah memerintahkan para pengikutnya supaya melakukan hijrah ke negeri Abbysinia kerana menurut Rasul disana ada sebuah kerajaan yang tidak berlaku zalim terhadap rakyatnya. Tidak lama kemudian maka berangkatlah rombongan pertama yang melakukan hijrah yang terdiri dan 10 orang lelaki dan 4 orang wanita dan 17 wanita serta anak-anak. Dan diantara yang melakukan hijrah yang terdiri dan 10 orang lelaki dan 4 orang wanita lalu disusul dengan rombongan kedua yang terdiri dan 83 lelaki dan 17 wanita serta anak-anak. Dan di antara yang melakukan hijrah tersebut termasuklah Abdul Rahman Bin Auf.

Tidak lama kemudian Abdul Rahman Bin Auf dan beberapa temannya telah kembali ke kota Mekah sehingga sampai pada waktu Allah s.w.t memenintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk melakukan hijrah keYathrib( Madinah)  dilakukan Rasulullah sendiri dan para sahabatnya dan diantaranya termasuk juga Abdul Rahman Bin Auf.

Setiba di Madinah sebagaimana yang diperlakukan oleh Rasul terhadap lain-lain sahabat dalam rangka memberikan bantuan, maka Abdul Rahman Bin Auf telah dipersaudarakan oleh Baginda dengan Sa'ad Bin Rabi' seorang daripada golongan Ansar.

Demi kecintaan Saad Bin Rabi' kepada saudaranya dan golongan Muhajirin, beliau telah mengatakan kepada Abdul Rahman demikian antara lainnya, "Saudara, ketahuilah bahawa saya adalah seorang Ansar yang banyak harta, dan kiranya saudara sudi ambillah separuh dan kekayaan saya itu. Saya juga mempunyai dua orang isteri dan kiranya Saudara sudi mana satu antaranya, saya sedia mencaraikannya supaya boleh saudara mengahwininya. Mendengarkan kata-kata sahabatnya itu Abdul Rahman Bin Auf seraya menjawab, "Saudaraku, semoga Allah akan memberikan berkat terhadap keluarga dan hartabenda saudara. Janganlah disusahkan tentang din saya ini, yang penting bagi saya ialah kiranya saudara sudi menunjukkan saya jalan menuju ke pasar.

Sungguh beliau memang seorang pedagang yang berbakat dan pintar. Dalam sekejap masa saja beliau berjaya menunjukkan keahliannya dalam berdagang hingga berjaya memperoleh harta yang banyak. Beliau mempunyai 100 ekor kuda yang dapat dipergunakan dalam peperangan 100 ekor unta dan 10,000 ekor kambing sehingga diwaktu beliau meninggal, tatkala dihitung seperempat dan kekayaannya menyamai jumlah 84 ribu dinar. Akan tetapi disamping kekayaannya yang melimpah-limpah itu, bellau termasuk orang yang paling dermawan dan paling pemurah juga merupakan seorang tokoh sahabat yang paling banyak berbuat kebajikan terhadap kaum fakir miskin.

Pada zaman Rasulullah S.A.W, beliau  pernah membahagikan seluruh kekayaannya dan menyerahkan yang sebahagian itu kepada orang-orang yang memerlukannya. Pernah terjadi dalam satu peristiwa, Abdul Rahman Bin Auf mengeluarkan sedekah sekali duduk sebesar 40 ribu dinar, dan pernah ia membiayai peperangan dengan menyediakan perlengkapan sebanyak 500 ekor kuda tempur lengkap dengan senjatanya pakaian makanan untuk dipergunakan oleh para perajurit dan juga dalam waktu yang sama membawa konvoi perbekalan yang diangkut oleh 500 unta.

Memandangkan jasa dan pengorbanan menegakkan Islam dengan hanta kekayaannya Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Abdul Rahinan Bin Auf adalah saudagar Tuhan " sebagai memujinya atas peranannya menegakkan ugama ALlah dengan harta kekayaan. Dalam satu riwayat lain pula Rasulullah pernah bersabda, "Sesungguhnya mereka yang memelihara keluarga saya setelah saya meninggal dunia adalah manusia yang benar dan manusia yang mempunyai kebajikan. Dalam hal ini Abdul Rahmanlah salah seorang sahabat yang menyahut seruan Rasulullah s.a.w kerana beliaulah yang menyiapkan kemudahan untuk Ummul Mu'minin dalam melakukan ibadah haji dibawah lindungan beliau.

Disamping memiliki kekayaan yang melimpah-limpah beliau adalah seorang yang takut dan benci kepada harta kekayaan dan selalu menghindarkan din dan penganuh kekayaannya. Adalah diriwayatkan bahawa pada suatu han Abdul Rahman Bin Auf menangis tersedu-sedu lalu ia ditanyai orang apakah yang menyebabkan beliau menangis itu, lalu dijawabnya, "Sesungguhnya Mas'ab adalah lebih baik daripadaku kerana ia meninggal dunia di zaman Rasul dan diwaktu meninggal dunia ia tidak memiliki sepotong kain yang dapat dijadikan kafan untuk membungkusnya. Sesungguhnya Hamzah Bin Muttalib adalah manusia yang lebih utama daripada saya padahal ia tidak mempunyai kain yang dapat dijadikan kafan untuk memakamkannya. Saya khuatir saya ini termasuk di antara orang-orang yang dipercepat untuk menikmati kebahgiaan dunia fana ini dan saya khuatir bahawa saya akan tersisih daripada para sahabat Nabi diAkhirat kelak disebabkan kerana saya mempunyai banyak harta. Dalam satu riwayat yang lain pula diceritakan orang bahawa tatkala Abdul Rahman Bin Auf memberikan makanan kepada tamunya beliau tiba-tiba menangis lalu ditanyai orang, "Mengapakah engkau menangis hai Ibnu Auf ?" Ia lalu menjawab, "Nabi telah wafat, sedangkan ia dan keluarganya tidak pernah kenyang oleh roti gandum.

Demikianlah jiwa Abdul Rahman Bin Auf salah seorang sahabat besar Rasulullah. Memandangkan besarnya semangat pengorbanannya itu maka tidaklah hairan kiranya Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa Abdul Rahman adalah di antara sepuluh orang yang telah digembirakan oleh baginda Rasul akan memasuki syurga.

Dizaman Khalifah Umar Al Khattab, Abdul Rahman Bin Auf telah memperoleh kehormatan dan keutamaan di sisi Khalifah. Di zaman Khalifah, beliau pernah dilantik oleh Khalifah Umar untuk memimpin rombongan haji pada tahun pertama setelah Saiyidina Umar dipilih sebagai khalifah. Malah beliau jugalah salah seorang yang telah diwasiatkan oleh Khalifah Umar Al Khattab sebelum kewafatan beliau menjadi salah seorang ahli dalam majlis jawatankuasa di antara enam orang anggota bagi memilih calon khalifah yang akan menggantikan baginda. Beliaulah juga tokoh yang mengetuai tugas untuk menentukan siapakah yang bakal menggantikan Khalifah Umar Al Khattab sebagai khalifah ketiga umat Islam yang akhirnya jatuh ketangan Saiyidina Uthman Bin Affan r.a.

Pada tahun 31 Hijrah, setelah menempuh hidup didunia yang fana mi selama 74 tahun, berpulanglah tokoh sahabat besar ini kerahmatullah. Dalam usia 75 tahun. Dan sebelum meninggalnya, Ummul Mu'minin Aisyah telah menawarkan bahawa jika ia menghendakinya akan ditempatkan kuburannya nanti di sisi kuburan Nabi, Abu Bakar dan Umar r.a. Dengan suara yang merendah diri ia menjawab bahawa ia malu jika diberi kedudukan yang sedemikian tingginya untuk berkubur di samping Rasul. Dan ia juga menyatakan bahawa dirinya telah terikat janji dengan Uthman Bin Mazh'un bahawa jika salah satu di antara mereka berdua meninggal dunia lebih dahulu, maka ia akan berkubur di samping kuburan kawannya yang lain. Jenazah beliau telah dikebumikan di Baqi dan disembahyangkan oleh Saiyidina Uthman Bin Affan, Zubair Ibnul Awwam dan lain-lain tokoh sahabat.

Pekerjaan terbaik

Bismillah...(dengan nama ALLAH)

Setiap orang ada keinginan dan matlamat hidup masing-masing untuk menuju kejayaan hidup di dunia dan akhirat. bagi kejayaan di dunia, setiap insan mengorak langkah tersendiri demi mencapai matlamat hidup tersendiri, ada yang ingin menjadi petani moden, proffesional dan eksekutif, tak kurang juga yang ingin menjadi ahli politik dan perniagaan. namun ada segelintir dari kalangan kita yang tidak mempunyai matlamat utama dalam kehidupan mereka. bagi mereka, cukuplah sekadar boleh menampung keluarga dan diri sendiri. sebenarnya perasaan itulah yang harus kita kikis dari hati dan naluri kita khususnya masyarakat melayu islam yang terkenal dengan sikap 'ala kadar'.

masyarakat kita lebih memandang sesuatu kemewahan sebagai nikmat dunia sahaja, sehinggakan mereka membiarkan peluang-peluang yang ada terlepas ke tangan masyarakat bukan islam. Bagi mereka kehidupan di akhirat lagi penting dan ianya memang benar. akan tetapi, kita tidak boleh membiarkan kehidupan di dunia berlalu begitu sahaja tanpa memberi manfaat yang besar pada diri,keluarga,agama dan masyarakat kita sendiri. bahkan dalam islam pun menyarankan umatnya agar 'beribadat seolah-olah akan mati pada keesokkannya dan bekerja seolah-olah kita akan hidup seribu tahun'. itulah yang dinyatakan islam kepada penganutnya. mengalakkan kita mencari kemewahan dunia disamping tidak lupakan ALLAH s.w.t.

kalau dilihat zaman rasulullah sendiri adanya para sahabat yang memang digelar sebagai usahawan yang berjaya seperti abdul rahman bin auf . beliau merupakan antara penyumbang utama kepada pembangunan islam ketika itu. bahkan beliau terus diberi galakkan oleh rasulullah ketika pembukaan kota madinah demi mengurangkan monopoli perniagaan masyarakat yahudi ketika itu. alhamdulillah berkat usahanya dan para sahabat lain, islam berjaya memonopoli perniagaan.

Tidak kiralah ape pun pekerjaan kita, setiap dari kita mempunyai tanggung jawab masing2 yang penting dalam merealisasikan impian masing2. cuma kalau boleh, kita perlulah menanam sikap keinginan untuk berniaga kerana hanya perniagaan yang dapat membantu kita, masyarakat,agama dan negara. tanpa perniagaan maka ekonomi negara tidak akan membangun. tertarik akan kata-kata salah seorang usahawan ulung negara kita, syed mokhtar bukhary yang mengatakan "Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju". mungkin bagi sesetengah orang ianya tidak memberi maksud apa-apa. fikir-fikirkanlah..

Kejayaan sesuatu bangsa bukanlah diukur dari segi kebijaksanaan dalam ilmu semata-mata bahkan diukur dari aspek pengaruh ekonomi juga. Tidak bererti jika kita belajar tinggi-tinggi akan tetapi tidak dapat memberi manfaat kepada ekonomi islam khususnya. Sepertimana yang kita ketahui, masyarakat yahudi cukup terkenal akan kehebatan mereka dalam bidang perniagaan. dan sebab itu jugalah mereka dapat menguasai ekonomi dunia dan amerika. bagi sesetengah orang, mereka menafikan bahawa kita bukannya dibawah pengaruh yahudi akan tetapi pada hakikatnya itulah kebenaran yang patut kita telan walaupun pahit atau masin. Kejayaan dalam perniagaan bererti anda mampu mempengaruhi dunia. sehebat mana pun seorang engineer atau doktor, mereka masih lagi menerima gaji dari orang atasan. akan tetapi seorang ahli perniagaan tidak menerima gaji dari sesiapa akan tetapi mereka yang menetukan gaji mereka sendiri. 

kita diberi kelebihan untuk memilih sebelum menetapkan matlamat hidup atau sebelum kita menyesal kemudian hari. Jika anda seorang usahawan berjaya, anda mampu membantu setiap orang islam di muka bumi dan seterusnya mengembangkan syiar islam. Walaubagaimanapun,  sebelum memulakan sesuatu, biarlah kita dipenuhkan dengan ilmu di dada supaya kelak kita mampu bertindak secara rasional. Sesungguhnya ALLAH takkan mengubah sesuatu kaum melainkan kita sendiri yang mengubahnya. 9/10 hasil rezki dunia adalah datangnya dari perniagaan.

Melalui perniagaan, masa untuk diluangkn bersama keluarga adalah lebih terjamin berbanding bekerja untuk orang. kita mencorakkan masa depan kita. Nabi kita pernah mengingatkan kita supaya menuntulah ilmu sehingga ke negeri cina. dengan keadaan sekarang mungkin kita boleh membina satu pepatah baru untuk masyarakat kita, berniagalah seperti orang yahudi. bukanlah bererti ingin mengagungkan mereka tetapi sebagai satu medium untuk kita jadikan batu pengukur terhadap kejayaan perniagaan masyarakat kita. dengan keadaan sekarang, jika kita mampu mengalahkan perniagaan yahudi bererti kita mampu menguasai dunia. 1.3 billion muslim. pasaran yang begitu besar tuk setiap perniagaan bercirikan islam. peluang sentiasa ada, kita yang tentukan sama ada ingin mengambilnya atau tidak.

mudahan kita diberi kekuatan untk mewarisi semangat perniagaan yang diamalkan zaman rasulullah. amin..insyaALLAH dengan usaha dan doa, aku akan merealisasikan impian ini. :)

pertanian adalah satu perniagaan.. -maby86-