Showing posts with label teladan. Show all posts
Showing posts with label teladan. Show all posts

Saturday, May 9, 2009

Pengorbanan seorang adik

Hanya satu kisah…
Aku cuma ada seorang adik. Lelaki dan usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.


Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.


Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.
"Baik, kalau tak mengaku, dua- dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata,
"Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik.
Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.
"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"


Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,
"Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!"
Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku.
Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.


Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,
"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran.. Abang bangga sekali!"
"Tapi apalah maknanya bang…!" aku terdengar ibu teresak-esak.
"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"
Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg…. sebuah penampar singgah di pipi adik.
Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"
"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku
memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
"Kakak perempuan… biarlah kakak yang berhenti."
Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat…. .


"Kak…untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."
Apa lagi yang Aku tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:
"Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"
"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen..
"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"
Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"


Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara,
"Akak tak peduli apa orang lain kata."
Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata,
"Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
"Tak… Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."
Apalagi…aku menangis seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.
"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya,
"Siapakah orang yang paling anda sayangi?"
Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya" katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.


"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya.
"Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar "
"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.
"Jika tak dapat apa yang kita suka, belajarlah menyukai apa yg kita dapat… dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada..


p/s: cerita di atas pemberian seorang rakan. wallahualam..semoga bermanfaat.. ;)

Saturday, April 25, 2009

Adakah kita memahami islam seperti abu jahal?

Adakah anda faham Islam sebagaimana Abu Jahal memahaminya? Pelik bukan, mendengarkan tajuk artikel ini.Benar,Abu Jahal dan Abu Sufyan(ketika Abu Sufyan belum menerima Islam) mungkin sekali memahami Islam lebih daripada kita ini yang telah bersyahadah dan mengaku diri ini sebagai Islam.Pelik bukan,bagaimana 2 orang tokoh penentang Islam ini boleh sahaja memahami Islam dalam konteks untuk menerimanya sehinggakan mereka menjadi penentang terawal yang amat tegar dan zalim terhadap umat Islam.Oleh itu saya bawakan dua buah kisah yang amat menarik dan mungkin sekali membuktikan betapa mereka ini memahami Islam itu.

Biarlah saya bermula dengan kisah Abu Jahal.Abu Jahal atau nama sebenarnya Amr Ibn Hisyam.Dia merupakan pemimpin arab jahiliyah yang terkenal dan digelar Abu Jahal kerana kejahilannya terhadap Islam dan kerana kejahilannya itu dia menentang. Bukanlah maksudnya atas kejahilan itu dia tidak mengetahui tetapi dia mengetahui dakwah Rasul itu,memahaminya,tetapi menentang dengan cukup tegar sekali.Dia juga digelar sebagai Abu Hakam, di mana gelaran ini membawa maksud seseorang yang memiliki kebijaksanaan (father of wisdom).Jadi bagaimana boleh kita katakan yang seseorang yang digelar sebagai 'father of wisdom' ini tidak memahami dua kalimat Arab yang mempunyai makna tiada illah selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah?

Abu Jahal merupakan seorang Arab bahkan digelar dengan gelaran abu hakam,makanya dia ini pastinya seorang yang arif dalam hal-hal bahasa sebagaimana seorang hakim memahami bahasa perundangan,tetapi mengapa tetap juga ditolak Islam itu mentah-mentah bahkan menentang
dengan penuh tegar dan dahsyat? Diceritakan suatu ketika Ar-Rasul berdakwah kepada kaum kerabatnya dengan mengajak kepada tiada illah selain Allah dan Muhammad itu Rasul Allah. Maka berdiri dengan lantangnya Abu Jahal ini dengan berkata, ' Jika itu kau bawakan kepada kami wahai Muhammad , maka kau telah melancarkan perang terhadap seluruh jazirah Arab tidak kira dengan orang Arab atau bukan Arab!'.

Lihat saudaraku,seiman denganku, kenapakah kalimah yang kita lihat sebagai kalimah yang mudah ini boleh menyebabkan orang seperti Abu Jahal itu memerangi Muhammad saw.KENAPA KALIMAH YANG SERINGKALI KITA SEBUTKAN DAN LAFAZ SETIAP HARI SEPERTI TIADA APA-APA INI DI FAHAMI OLEH ABU JAHAL SEHINGGA DIA MENENTANG DENGAN PENUH TEGAR? Maka tidak kah kita terfikir APAKAH MAKSUD SYAHADAH ITU SATU PERSATU. Dari makna kesaksian, kepada maksud illah, kepada mengenal siapa itu Allah sehingga kepada mengakui dan mengenal apa itu Rasul dan siapakah Muhammad itu sebagai Rasul sepertimana yang difahami oleh Abu Jahal.

Kini saya bawakan kepada kisah Abu Sufyan pula.Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahwa Abu Sufyan bin Harb bercerita kepadanya, bahawa Heraclius ( Herclius, Raja Rumawi Timur yang memerintah tahun 610 r11; 630 M ) berkirim surat kepada Abu Sufyan menyuruh ia datang ke Syam bersama kafilah saudagar Quraisy ( Quraisy, nama suku bangsawan tinggi di negara Mekkah). Waktu itu Rasullah saw sedang dalam perjanjian damai dengan Abu Sufyan berserta orang-orang kafir Quraisy ( Perjanjian damai, iaitu Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat tahun 6 H ). Mereka datang menghadap Heraclius di Ilia ( Ilia, yaitu Baitul Maqdis (Jerusalem) dan terus masuk ke dalam majlisnya. Dihadapi oleh pembesar-pembesar Rumawi. Kemudian Heraclius memanggil orang-orang Quraisy itu beserta jurubahasanya. Ceritanya barangkali panjang maka saya ringkaskan kepada satu perbualan sahaja . Heraclius berkata, 'Apakah yang diperintahkannya kepada kamu sekalian ?' Abu Sufyan menjawab, 'Dia menyuruh kami menyembah Allah semata-mata, dan jangan mempersekutukanNya. Tinggalkan apa yang diajarkan nenek moyangmu! Disuruhnya kami menegakan solat, berlaku jujur, sopan (teguh hati) dan mempererat persaudaraan.'

Lihat,Abu Sufyan memahami apa yang dibawa Ar Rasul,yakni kalimah syahadah itu tetapi kenapa ketika itu dia tidak mahu menerima Islam? Apa yang ada sebenarnya dalam kalimah yang kita lihat sebagai mudah itu sehingga Abu Jahal memeranginya dan kaisar Romawi begitu ingin tahu terhadapnya? Apa yang ada pada kalimah itu sehingga kedua tokoh Arab itu memahaminya dan menolaknya? Sedangkan ada yang menerimanya dengan hati terbuka seperti Abu Bakar As Siddiq dan ada yang menerimanya setelah memahaminya walaupun sebelumnya berniat membunuh Ar Rasul seperti Umar Ibn Khattab?

Kalimah syahadah itu merupakan perjanjian yang teguh antara seorang insan dengan penciptanya tanpa perantaraan manusia. Tanpa paderi yang menjadi perantara.Hubungan terus antara manusia dengan Allah.Di mana kita menerima Allah itu sebagai illah dan Muhammad itu sebagai RasulNya. Apakah illah itu sehingga kita sebutkan illah itu sebagai Tuhan? Illah itu adalah Yang diharapkan, Yang ditakuti,Yang diikuti dan Yang dicintai. Di mana sifat itu difahami dengan sebetulnya.Masalahnya kini kita telah mencipta banyak illah lain selain Allah secara kita tidak sedar.

Saya sebagai remaja ingin memberi contoh,kita punya kekasih hati(orang sarawak panggil gerek) dan kita harapkan dia,kita sayangkan dia sepenuh hati,kita ikut kehendaknya,kita takut kalau dia merajuk atau sedih dan kita cintai dia sepenuh hati kita. Bukankah kita telah menciptakan illah yang lain? Benar,kita senang katakan yang kita mencintai Allah lebih dari segalanya, lebih dari kekasih kita itu tetapi adakah iman itu hanya dibuktikan dengan kata-kata kosong sedangkan perlakuan kita tidak menunjukkan dan membuktikan apa yang kita ucapkan! Bahkan berlawanan dengan apa yang kita katakan cinta kita sepenuhnya kepada Allah.

Di mana sebenarnya kita letakkan Allah itu sebagai illah dan lebih lagi dimana kita letakkan pengertian kita bersyahadah? Bahkan dalam konteks remaja yang berkasihan dengan kaum berlainan jenisnya itu melakukan maksiat kepada Allah dalam dia berkata dia mencintai Allah lebih dari segalanya. Itu sesuatu yang sangat keji dan menyedihkan. Mungkin dalam konteks sebagai seorang dewasa,sebagai perkerja dan pembaca,anda mungkin boleh berfikir sendiri betapa kita telah mencipta sembahan dan illah selain dari Allah swt. Di manakah nilai kita ini sebagai seorang yang bersyahadah? Adakah kita bersyahadah dengan bermain-main? Ataupun kita anggap syahadah itu sebagai kata-kata kosong yang tidak ada harga dan isinya?

Lihat saudaraku,betapa sehingga Abu Jahal itu menentang Islam kerana dia tahu bilamana dia menerima Allah itu sebagai satu-satunya illah, dia perlu dan wajib menolak illah lain yang telah dia ciptakan seperti kekuasan,kekayaan dan darjat. Bilamana dia memahami maksud illah itu,dia menentang Islam bahkan melancarkan perang terhadap Islam. Sesungguhnya Abu Jahal ini benar-benar memahami kalimah syahadah itu dan memahami erti sebenar illah. Adakah kita faham Islam itu sebagaimana abu jahal memahaminya atau lebih teruk lagi? Fikirkanlah!

'Dan diantara manusia ada yang menyembah selain Allah sebagai tandingan yang mereka cintai seperti mencintai Allah.Adapun orang-orang beriman amat besar cintanya kepada Allah...' (Al-Baqarah:165)

Wednesday, March 11, 2009

pelajar dan guru

Dialog di antara pelajar dan guru tersebut berbunyi begini:-

Pelajar : Cikgu, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang paling kita sayang?. Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?
Cikgu : Oh, awak nak tahu ke?.Emmm...baiklah, sekarang kamu buat apa yang saya suruh. Ikut je ye...mungkin kamu akan dapat apa jawapannya.
Pelajar : Baiklah...apa yang saya harus buat?
Cikgu : Kamu pergi ke padang sekolah yang berada di luar kelas sekarang juga. Kamu berjalan di atas rumput di situ dan sambil memandang rumput di depan kamu, pilih mana yang PALING cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Dan kamu petiklah rumput yang PALING cantik yang berada di depan kamu tersebut dan selepas itu bawa balik ke kelas. Pelajar : Ok. Saya pergi sekarang dan buat apa yang cikgu suruh. Apabila pelajar tersebut balik semula ke kelas, tiada pun rumput yang berada di tangannya. Maka cikgu pun bertanya kepada pelajar tersebut.
Cikgu : Mana rumput yang cikgu suruh petik?
Pelajar : Oh, tadi saya berjalan di atas rumput dan sambil memandang rumput yang berada di situ, saya carilah rumput yang paling cantik. Memang ada banyak yang cantik tapi cikgu kata petik yang paling cantik maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang , saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya sebelum itu tapi dah cikgu cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik.
Cikgu : Ya, itulah jawapannya. Maknanya, apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita hendak mencari lagi yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Janganlah kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Dan semoga yang berlalu tidak lagi berulang. Jika kita berselisih faham dengan orang yang kita sayang itu, kita boleh perbetulkan keadaan dan cuba teruskan perhubungan tersebut walaupun banyak perkara yang menggugat perhubungan tersebut. Dan ingatlah orang yang kita sayang itulah kita jumpa paling cantik dan paling baik pada MULAnya walaupun nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi.

Maka sayangilah orang yang berada di depan kita dengan tulus dan ikhlas

Wednesday, March 4, 2009

Mulianya seorang Anak

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter Pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan ibadah fardhu haji pada tahun ini. “Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu pegawai itu lagi. “Insya’Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke rumah. “Pah….. Ooo….. Pah!” teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya. “Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah. “Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai. Insya’Allah, dua bulan lagi kita akan ke sana.

Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,” cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri. “Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.” “Betullah Pah oii…….. saya ni baru je balik dari Pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.” “Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah suaminya. “Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.”

Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.“Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uwei. “Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei. “Pah…. Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.” Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya. “Tapi bang………..” “Dahlah…… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,” pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang, kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya. “Insya’Allah, Kis balik nanti Abah.

Ermm! Abah nak Kis suruh Intan balik sama?” tanya Balkis. “Ikut suka kaulah, bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak Uwei. Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan denga Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang, mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.“Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu.

Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.“Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.” Bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei. “Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?” “Itulah Abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat Abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh Abah.” Intan cuba membuat Abahnya faham. “Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!” “Intan memang tak sama dengan Kak Balkis, Abah. Intan suka berterus-terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan, bukan membebel kat belakang,” balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada Abahnya. “Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi….. aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.”

“Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!” Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak mempedulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu, Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya. Intan selalu menghulur duit, tapi hanya kepada maknya sahaja. Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu, selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di ruang tamu. “Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit,” Pak Uwei memulakan bicara.“Hajat apa pula Abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya. “Abah dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian Mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Uwei mengutarakan hasratnya. “Boleh tu boleh Abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz. “Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.”“Kalau dalam seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah.“Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.

“Rumah baru tu besar sikit Abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira isteri Muaz. Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macam mana Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti,” Pak Uwei berpaling pada Balkis. “Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah…… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.” Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis. “Man bukan tak nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.” “Betul kata Man tu Abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,” sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya. “Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah Abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.“Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak pergi….. dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal. Intan tahu Abahnya benar-benar kecewa.

Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tapi Intan faham kecewa Abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu. “Anak awak tu tak balik ke?” tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama dengan abang dan kakaknya. “Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya. “Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap. “Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebutnya anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak. Pagi Isnin itu selepas bersarapan, Intan bersiap-siap hendak keluar. “Nak ke mana Intan pagi-pagi dah bersiap ni?”“Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.” “Kalau nak ke bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah. “Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula Abah tu. Intan pergi dulu.”

Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri. Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari. “Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni Abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.” “Ingat lagi Abah lauk kegemaran Intan rupanya,” usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.“Mak Bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawap Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor, kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedan membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.“Mak, Abah….. Intan ada hal sikit nak cakap ni….,” ujar Intan menghampiri mereka.

Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya., kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.“Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar, Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.“Abah ni…… ke situ pulak….”“Habis tu?” “Ini….. kad Tabung Haji Mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ini resit memasukkan duit ke akaun Mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.” Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei. “Apa???” Pak Uwei terkejut.

Matanya merenung Intan dan duit ditangannya bagai tidak percaya. “Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal Abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan Abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati Abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu Abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat Abah.” “Dah banyak kali Abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap Abah sudi terima pemberian Intan,” tutur Intan perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

“Terima kasih Intan. Malu rasanya Abah nak ambil duit kamu…… dulu Abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi, tapi akhirnya anak Abah yang kerja kilang yang membantu Abah,” luah Pak Uwei sambil mengesat air mata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.“Sudahlah Abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira Abah sudi terima pemberian Intan.” “Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi Abah dan Mak kau Intan….,” ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat. “Hah……tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat air mata penuh kesyukuran. “Mak ni…..,” gelak Intan memandang abahnya yang tersengih. Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba. “Semua dah siap ke Mak?” tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.“Dah rasanya…… ada apa-apa yang Intan nak pesan Mak belikan di sana nanti?”

“Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.” “Hah! Awak dengan tu…. Kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah,” tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua beranak itu.“Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat,” pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu. Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di Tanah Suci. Intan tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh. “Kenapa resah aje ni Bang?” Mak Pah terjaga. “Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita.” “Sabarlah, dah nak sampai dah ni,” pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka. “Mak….. Abah…..,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata menitis laju. “Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan. “Mereka menanti di rumah, Abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.“Intan pun tak datang juga ke?” tanya Pak Uwei terasa hampa. “Awak ni….. kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.”

Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ni nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena. “Dua tiga malam sebelum balik, Abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu. “Tentulah Abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu. “Tapi Abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi Abah tu, Abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya renung Abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?” “Err….. tak ada Abah. Kita berhenti minum dulu Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman. “Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uwei.

Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.“Mak dengan Abah sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.“Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan. “Naik dulu Ngahnya…….,” suruh Long Semah. “Intan mana?” Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tangga menuju ke bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.“Az….. mana Intan? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu. “Sabar Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya.“Kenapa Az…….. kenapa?” Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.“Mak…. Intan dah tak ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu menglilinginya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.

“Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang. “Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu. “Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah. “Kami semua ada Mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya Mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan Abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isyak dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat Mak…….. tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita Muaz. Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka.

Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, “Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, Mak dan Abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat…..” “Islam pada mulanya terasing, dan ia akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing”

Friday, February 27, 2009

Penggali kubur

Dikatakan, kisah tersebut ada dinukilkan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub, kisah ini diriwayatkan oleh Abu Lais as Samarqandi.Suatu hari Umar Al Khattab masuk menemui Baginda Nabi s.a.w dalam keadaan menangis. lalu Baginda bertanya "Apa yang menyebabkan kamu menangis wahai Umar?"Jawab Umar, "Di hadapan sana ada seorang pemuda yang telah meruntuhkan hatiku dengan tangisannya

"Lalu Baginda memerintahkan pemuda tersebut supaya masuk lalu bertanya, "Apa yang membuatkan kamu menangis sedemikian rupa?"Jawab si pemuda, "Dosaku terlalu besar ya Rasulullah.. "Baginda bertanya "Adakah kamu menyekutukan Allah?""Tidak ya Rasulullah..""Adakah kamu membunuh jiwa tanpa hak ?""Tidak ya Rasulullah.."Sabda baginda "Kalau demikian Allah akan ampunkan dosamu walau sebesar mana sekalipun.."Kata si pemuda "Tapi dosaku terlalu besar ya Rasulullah..""Adakah dosamu lebih besar dari kursi Allah ?""Ya..dosaku lebih besar dari kursi Allah..""Adakah dosamu lebih besar dari arasy Allah ?""Ya ..dosaku lebih besar dari arasy Allah..""Adakah dosamu lebih besar dari Allah..?""Bahkan..Allah lah yang lebih besar.." jawab pemuda akhirnya.Lalu Rasulullah meminta si pemuda menceritakan dosanya tersebut."

Aku sangat malu untuk menceritakannya ya Rasulullah.."Lalu pemuda tersebut menceritakan..Aku seorang penggali kubur. Kerjaku mencuri kain kafan. Suatu hari aku menggali kubur seorang wanita dari kaum ansar yang baru meninggal dunia. Setelah aku gali, aku telanjangkan si mayat tadi dan ku ambil kain kafannya. Selang beberapa langkah inginku tinggalkan kuburnya tiba-tiba syaitan mencucuk nafsuku. Lantas aku kembali dan ku setubuhi mayat wanita tersebut. Apabila aku ingin meninggalkannya tiba-tiba mayat tersebut bangkit lalu menjerit kepadaku."Celaka kamu wahai pemuda! Kamu telanjangkan aku di hadapan ahli kubur yang ramai ini kemudian kamu tinggalkan aku dalam keadaan berjunub menghadap Tuhanku!"Lalu aku terkejut dan menangis ya Rasulullah...aku menyesal..

"Mendengar ceritanya Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan dan kemarahan lantas meluru dan menolak bahu si pemuda seraya berkata "Pergilah kamu! Sesungguhnya neraka jahanam lebih layak untukmu!"Si pemuda itu menangis dan terus memohon taubat daripada Allah ta'ala. Diriwayatkan dia meminta ampun selama 40 hari 40 malam sehingga akhirnya dalam doanya dia meminta :"Ya Allah andainya Engkau telah ampunkan aku maka tolong khabarkan kepada Muhammad dan sahabat-sahabatnya..

"Lalu Jibril turun menemui baginda s.a.w. dengan katanya ;"Ya Rasulullah. Tuhanmu berkirim salam kepadamu .."Sesudah dijawab salam tersebut lalu kata Jibril; "Aku menyampaikan pesan dari Tuhanmu, adakah engkau yang menciptakan makhluk ? ""Bahkan Allah yang menciptakan semua makhlukNya.."Kata Jibril "Tuhanmu berpesan bahawa Dia telah mengampunkan dosa pemuda tersebut.."Lalu Baginda menghantar utusan menjemput si pemuda dan memberi khabar gembira bahawa taubatnya telahpun diterima.