Saturday, March 28, 2009

Pemimpin dan rakyat

Kepimpinan merupakan sesuatu yang bukan semua orang mampu lakukan. Apabila dikaitkan dengan kepimpinan, semua orang akan terfikir akan kuasa. Ada orang mampu menjadi pemimpin, ada yang tidak sanggup menggalas tanggungjawab berat ini dan tidak kurang juga yang gilakan kuasa untuk memimpin. Akan tetapi, untuk menjadi dan mencari seorang pemimpin yang berkualiti pada masa sekarang amatlah sukar. Kadang-kadang kita sendiri lupa diri apabila diberi mandat untuk memimpin.

Rasulullah ada mengingatkan kita tentang larangan gila kuasa dalam hadisnya:
Abdul Rahman Ibnu Samurah berkata:” Nabi SAW berkata kepada ku:”Hai Abdul Rahman Ibnu Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.”

Hadis diatas cukup jelas menyatakan larangan gila kuasa di kalangan umat islam. namun apa yang mampu kita lihat sekarang, terlalu ramai golongan mementingkan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin kestabilan kuasa memimpin di tangan mereka. Pemimpin yang ada sekarang mempunyai hidup yang senang dengan harta dan kemewahan hidup. Jika kita hayati kisah-kisah nabi dan para sahabat, kita akan tahu akan betapa sukarnya hidup pemimpin yang zuhud di jalan kebenaran.

Setiap insan bergelar lelaki diberi dengan kelebihan ciri-ciri menjadi pemimpin oleh ALLAH sebagai satu sifat yang perlu dalam memimpin keluarga apabila berkahwin kelak. Menjadi pemimpin kepada masyarakat bukannya mudah, bahkan menjadi pemimpin keluarga pun sudah banyak pancarobanya. Dan jika telah dipilih menjadi pemimpin, masih banyak garis panduan dalam menjadi pemimpin yang terbaik. Jika ianya difahami oleh pemimpin-pemimpin sekarang, saya percaya sudah pasti mereka tidak berfikir banyak kali sebelum menggalas tanggungjawab sukar ini.

Apabila menjadi pemimpin, akhlak merupakan sesuatu yang penting kerana ianya mampu dinilai oleh setiap manusia. Akidah dan ibadah hanyalah ALLAH yang boleh menilai macam mana seorang pemimpin itu. Namun begitu, akhlak boleh dilihat oleh mata kasar. Rasulullah mengingatkan setiap insan berakhlak mulia bukan sekadar kepada pemimpin tapi seluruh umat islam khususnya.

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:“Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain”.
Riwayat Muslim

Akhlak merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan seorang muslim sejati, bahkan ianya bertambah penting bagi seorang pemimpin kerana masyarakat akan menilai pemimpin berdasarkan akhlaknya. Ketinggian tamadun sesuatu masyarakat bergantung pada akhlaknya. tinggi akhlaknya nescaya akidah dan ibadahnya terpelihara.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :”Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.”
Riwayat Muslim

Pemimpin yang terbaik ialah pemimpin yang tidak mementingkan dirinya sendiri. Rasulullah sering meningatkan kita akan lahirnya pemimpin yang pentingkan diri sendiri. kita boleh menilai sendiri di negara kita macam mana pemimpin kita. Rasulullah juga menegaskan kita supaya menunaikan tanggungjawab kita sebagai rakyat jika kita dipimpin oleh golongan ini. apa yang mampu kita lakukan adalah sekadar berdoa kepada ALLAH kerana doa merupakan senjata utama muslim.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Akan lahir selepas aku beberapa pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan yang melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh kamu. Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah apakah yang engkau hendak perintah dikalangan kami ini sekiranya terdapat perkara seperti itu? “Baginda s.a.w. menjawab, “ hendaklah kamu menunaikan tanggungjawab kamu dan memohon kepada Allah segala hak-hak yang kamu perlukan.”
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:” Kamu wajib patuh dan setia sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, disukai atau dibenci dan biarpun merugikan kepentinganmu.”
(Muslim)


Kita hidup di akhir zaman dan sudah menjadi kewajipan kita sebagai umat islam untuk bersatu dalam menegakkan kembali syiar islam. walaupun dalam islam, kita dilarang menjadi penentang kepada pemimpin , kita mampu lagi berdakwah secara perlahan-lahan. Bahkan rasulullah dahulu, berdakwah secara rahsia selama beberapa tahun sebalum berdakwah secara terang-terang. Akar umbinya adalah rakyat dan bukannya pemimpin, pemimpin silih berganti tetapi rakyat sentiasa disisi. Jika rakyat bersatu, nescaya akan lahir pemimpin yang berkualiti dalam kalangan masyarakat kita, islam khususnya.

Pemimpin yang adil akan mendapat tempat yang tinggi disisi ALLAH. mencari pemimpin yang sempurna sesuatu yang mustahil kerana tiada pemimpin yang yang maksum melainkan rasulullah. akan tetapi kita perlu mencari pemimpin yang dapat menerima pandangan orang ramai dan berilmu dalam agama dan sebagianya. hanya ilmu yang dapat mendekatkan diri pada ALLAH dalam mencari taufik dan hidayah-NYA.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar yang diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang-orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir oleh mereka”.
Riwayat Muslim

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh Malaikat langit dan bumi."

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Sesungguhnya binasalah orang-orang yang sebelum kamu disebabkan orang-orang atasan apabila mencuri mereka membiarkannya , dan apabila orang lemah mencuri mereka menjatuhkan hukuman ke atasnya.”
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Dalam kehidupan yang mementingkan kebendaan, kita terlalu alpa dengan keindahan dunia yang sementara. kita lupa akan janji Pencipta yang pasti akan datangnya kiamat. Kita sayangkan agama, bangsa dan negara kita akan tetapi apakah yang telah kita lakukan terhadap agama, bangsa dan negara. jika kita hayati kisah salahudin al-ayubi mesti kita akan tahu nili sebenar pemimpin yang sejati. Seperti mana umar alkhatab yang di gelar pedang ALLAH tetapi mereka tidak syahid di medan perang. mereka mati sebagai manusia biasa betapa ALLAH menggambarkan kekuatan mereka sehingga tiada musuh dapat menewaskan mereka, hanya ALLAH yang mampu mencabut nyawa mereka.

Salahudin Al-ayubi merupakan perisai kepada umat islam ketika zamanya. Matinya dengan tiada harta yang ditinggalkan melainkan kejayaannya dalam memartabatkan islam. Pemimpin seperti inilah yang kita dahagakan. Mudahan kita diberikan pemimpin seperti ini suatu ketika nanti. Pemimpin yang hidup dan matinya kerana ALLAH dan berbakti pada jalan ALLAH.

Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Sesungguhnya Imam (pemimpin, pembesar atau penguasa) itu adalah bagaikan perisai, di mana orang berperang memakai perisai dan menjaga diri dengannya. Jika Imam memerintahkan supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya dan jika dia memerintahkan selain itu maka dia mendapat siksa.”
(Muslim)

Janganlah membuat salah perhitungan dalam ghairah mencari keredhaan ALLAH. pemimpin yang terbaik datangya dengan akidah, ibadah dan akhlak yang terbaik. Bersatulah wahai umat islam demi mencari keredhaan ALLAH. doakanlah mudahan bakal atau pemimpin kita diberi petunjuk ALLAH. masih bersyukur kerana dilahirkan sebagai umat islam walaupun iman dihati terlalu nipis. InsyaALLAH akan berusaha mencari kemanisan iman sejati.

wallahualam..

No comments:

Post a Comment