Monday, March 23, 2009

Salahuddin Al-ayubi tokoh yang dikagumi

1) Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk menjadi pemimpin agung. Ketika dia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, Sultan Aleppo, dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syiah yang tidak bernaung di bawah khalifah.

2) Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Dia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Dia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

3) Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukit pun akan mengecut daripada bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab (583H), iaitu pada hari Isra Mi'raj, Salahuddin telah memasuki bandar suci tempat Rasulullah saw naik ke langit. Dalam catatan Bahauddin, dia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri daripada ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan dengan gembiranya atas kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan Allah" telah memenuhi langit.

4) Lane-Poole menulis bahawa, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dia adalah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya, bahkan mungkin di sepanjang zaman. Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian dia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian.

5) Hampir semua raja dan panglima perang daripada dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tenteranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu. Peperangan ini berlanjutan selama lima tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk membuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah penguasa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.

6) seluruh kekuatan dunia Kristian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu, tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan mereka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja.

7) Wafatnya Salahuddin Pada hari Rabu, 27 Safar (589H), pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas dia jatuh sakit, dia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Jaafar seorang yang wara' telah diminta untuk menemani Salahuddin di Istana supaya jika dia nazak, bacaan al-Quran dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak tiga hari yang lepas membacakan al-Quran. Dalam masa ini, Salahuddin selalu pengsan dan sedar sebentar.

8) Sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana dia telah tersangat lemah dan selalu pengsan. Tetapi dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Dia tidak pernah membayar zakat kerana dia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Dia tidak meninggalkan harta selain itu.

9) Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun dia berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya dengan keras supaya berbuka. Lalu dia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, "Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku". Maka segera dia membayar fidyah. Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Dia sangat gemar mendengar bacaan al-Quran. Dalam medan peperangan, acap kali dia duduk mendegar bacaan al-Quran para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, dia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinangan. Dalam peperangan kadang-kadang dia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.

10) Dia telah meluangkan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari isnin dan selasa. Pada masa ini dia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Dia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkannya untuk dituliskan oleh jurutulis untuk tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Dia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi dia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama dia sentiasa bertasbih kepada Allah. Jika ada orang membuat aduan, dia akan mendengar dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya.

11) Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Lalu dengan segera dia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan, dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, dia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain. Dia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidak adilan. Dia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, dia tidak pernah memarahi sehingga menjatuhkan air muka mereka.

12) Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya, tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tetamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan dia menyambutnya dengan tangan terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja Inggeris itu sakit. Hatinya memang sangat lembut hingga dia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan.

13) Bahauddin ada mencatatkan bahawa, betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, "Aku hendak beritahu padamu apa yang ada dalam hatiku. "Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, kuberikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tidak akan meletakkan senjataku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai."

subhanaALLAH maha suci ALLAH. andai kata setiap umat islam mempunyai keperibadian seperti ini. insyaALLAH bersinarlah islam seperti dahulu. wallahulam...

No comments:

Post a Comment